Pelan Strategik ANGKASA 2050 (PESAN50)
Pelan Strategik ANGKASA 2050 atau PESAN50 (Pelan Jangka Sederhana 2021-2030) dirangka dan disusun bagi mencapai hala tuju ANGKASA 2050. Melalui visi ANGKASA sebagai Pemacu Unggul Kelestarian Sosioekonomi Gerakan Koperasi, empat (4) Tonggak Strategik utama iaitu TONGGAK EKONOMI, TONGGAK EKOSISTEM, TONGGAK TADBIR URUS dan TONGGAK INOVASI disandarkan.
Bagi setiap tonggak, dua (2) Teras Strategik ditetapkan dengan memberi fokus kepada ANGKASA (untuk memperkukuh infrastruktur organisasi ANGKASA) dan gerakan (untuk melestarikan gerakan koperasi yang diterajui ANGKASA).
Tonggak Strategik ANGKASA
Dalam pembangunan Teras-teras Strategik ANGKASA 2017-2050, empat (4) tonggak utama telah diperkenalkan oleh ANGKASA untuk memastikan pelaksanaan teras-teras strategik akan diselaraskan dengan hasil pencapaian objektif ANGKASA:
Tonggak Ekonomi merangkumi daya usaha bagi merangsang pembangunan dan daya saing ekonomi gerakan koperasi berdasarkan ekonomi kolaboratif bagi mencapai sasaran KDNK negara serta membangunkan ANGKASA yang berdaya kewangan dan mampan sebagai APEKS gerakan koperasi seterusnya dapat mencapai matlamat memperkasakan serta melestarikan sosioekonomi gerakan koperasi.
Hasil Pencapaian Pelan Strategik ANGKASA dari segi Tonggak Ekonomi: Gerakan Koperasi sebagai Penyumbang Berkesan kepada Ekonomi Negara.
Tonggak Ekosistem merangkumi pembangunan ekosistem yang melibatkan koperasi-koperasi, pihak kerajaan, pihak swasta dan lain-lain pihak NGO yang mana ANGKASA memainkan peranan penting memacu pewujudan dan merangsang penglibatan gerakan koperasi merangkumi fokus pembangunan daya saing berdasarkan penjanaan inisiatif yang berinovasi tinggi dan progresif sejajar dengan dasar dan dorongan berkaitan sumber manusia, pasaran, modal, undang-undang, kemahiran teknikal dan teknologi bagi memastikan pembangunan sosial, ekonomi dan budaya masyarakat melalui koperasi.
Hasil Pencapaian Pelan Strategik ANGKASA dari segi Tonggak Ekosistem: Kepercayaan dan Keyakinan Terhadap Gerakan Koperasi yang Kompeten, Progresif dan Profesional.
Tonggak Tadbir Urus merangkumi usaha ANGKASA bagi memantapkan serta memperkukuh rangka kerja tadbir urus koperasi dan korporat melalui pemerkasaan rangka kerja tadbir urus dan perniagaan yang kompeten. Usaha ini dapat melahirkan bakat baru sebagai pucuk pimpinan pelapis baru ANGKASA dan gerakan koperasi melalui pelaksanaan inisiatif pembangunan modal insan yang menyeluruh dan mampan.
Hasil Pencapaian Pelan Strategik ANGKASA dari segi Tonggak Tadbir Urus: Warga Koperasi yang Berkaliber, Profesional dan Kompeten sebagai Penggerak Utama Aspirasi ANGKASA ke Arah Globalisasi.
Tonggak Inovasi merangkumi kerjasama simbiotik yang dinamik, progresif dan mampan. ANGKASA memainkan peranan penting dalam meneraju penglibatan gerakan koperasi melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan inisiatif yang berinovasi tinggi dan progresif. Hal ini sejajar dengan perkembangan pesat penggunaan teknologi dan sistem pengurusan maklumat yang akan melestarikan tahap kepercayaan pihak kerajaan, swasta, masyarakat awam dan komuniti global terhadap ANGKASA, agar gerakan koperasi terus dinamik dan progresif menuju ke arah pembangunan masyarakat berpendapatan tinggi di peringkat negara dan antarabangsa.
Hasil Pencapaian Pelan Strategik ANGKASA dari segi Tonggak Inovasi: Gerakan Koperasi yang Progresif dan Berpotensi dengan Daya Saing Tinggi ke Arah Globalisasi.
Teras Strategik ANGKASA
Penyelarasan hala tuju ANGKASA 2050 telah menetapkan lapan (8) Teras Strategik yang akan memberi fokus seperti berikut:
Isu utama bagi penetapan pelan tindakan di bawah fokus ini adalah ke arah mengatasi isu bagaimana memperkasakan gerakan koperasi supaya dapat memberi impak signifi kan kepada masyarakat dan negara. Fokus Gerakan ANGKASA akan merangkumi aktiviti ANGKASA melalui penglibatan sektor peneraju yang akan merangsang dan membangunkan potensi perniagaan gerakan koperasi dan melonjakkan kedudukan ANGKASA sebagai APEKS peneraju ke peringkat global.
Isu utama bagi penetapan pelan tindakan di bawah fokus ini juga adalah ke arah mengatasi isu bagaimana ANGKASA terus diperkasa dan berdaya saing agar dapat melunaskan tanggungjawab serta melestarikan fungsi sebagai badan puncak gerakan koperasi. Fokus ANGKASA memastikan perkembangan dan pengukuhan kedudukan ANGKASA sebagai badan puncak peneraju koperasi yang mana aktiviti dan inisiatif yang akan dilaksanakan menurut setiap Tonggak Strategik dijangka akan meningkatkan ‘organizational maturity index’ ANGKASA menjelang 2050.
Penyelarasan Tonggak dan Teras Pelan Strategik ANGKASA 2050 dengan Dasar-Dasar Negara
Pembangunan Pelan Strategik ANGKASA (2050) ini adalah sejajar serta selaras dengan aspirasi kerajaan seperti yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025, Dasar-dasar Utama Malaysia dan Luar Negara serta Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goal).
Dalam membangunkan teras-teras setiap tonggak, semua matlamat dan hala tuju yang ditetapkan dalam dasar berkenaan digunakan sebagai rujukan dan dihubung kait dengan Teras Strategik ANGKASA.
Penyelarasan Pelan Strategik berdasarkan Dasar-Dasar Utama Negara amatlah penting bagi memastikan hala tuju gerakan koperasi seiring dengan hala tuju, matlamat dan rancangan negara seterusnya memastikan peningkatan dan kelestarian impak sumbangan koperasi kepada negara.
Wawasan Kemakmuran Bersama
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil. Matlamat utama adalah menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat Malaysia pada tahun 2030.
Matlamat wawasan ini adalah selaras dengan Jati Diri Koperasi. Tujuh teras strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dikenal pasti untuk dijadikan asas hala tuju sosioekonomi negara adalah seperti berikut:
- Penstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara.
- Sektor pertumbuhan baharu.
- Reformasi bakat dan sumber tenaga negara.
- Memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
- Memperkukuh kesejahteraan sosial.
- Pembangunan wilayah yang inklusif.
- Peningkatan modal sosial masyarakat.
Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM)
Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) telah dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang bermatlamat bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara.
Koperasi turut dilihat sebagai pendekatan yang baik bagi merangsang pembangunan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Terdapat lima (5) teras strategik yang telah digariskan dalam DKN 2030 iaitu:
- Membudayakan keusahawanan dalam segenap lapisan masyarakat
- Mengoptimumkan sistem kawal selia dan capaian kepada pembiayaan kewangan
- Merangsang pembangunan keusahawanan bersepadu dan holistik
- Memacu pertumbuhan ekonomi melalui perusahaan berteraskan inovasi
- Memantapkan keupayaan dan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana
Pada tahun 2020, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga telah melancarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) iaitu dokumen strategik yang menggariskan langkah-langkah transformasi yang akan diambil kira bagi memperkasa Gerakan Koperasi di Malaysia sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi Malaysia yang seimbang, inklusif, progresif dan mapan.
Pelan ini dirangka pelaksanaannya bagi tempoh lima (5) tahun bermula tahun 2021-2025. Matlamat utama transformasi ini adalah:
- Pencapaian matlamat berteraskan kesejahteraan dan kemakmuran bersama
- Sistem perundangan dan kawal selia yang membangun dan fasilitatif
- Modal insan produktif dan berilmu
- Modal perniagaan baharu berteraskan teknologi dan pengetahuan
Pelaksanaan pelan transformasi ini dibahagikan kepada lima (5) bidang tujahan iaitu:
- Penerapan nilai kemakmuran bersama
- Pemantapan sistem perundangan dan struktur tadbir urus
- Pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan
- Pembentukan persekitaran perniagaan yang mapan dan lestari
- Pemerkasaan badan induk dan sistem penyampaian koperasi
Rancangan Malaysia
Rancangan Malaysia merupakan rancangan lima tahun pembangunan kerajaan Malaysia. Setiap fokus serta pelan tindakan bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia akan memberi impak kepada perkembangan ekonomi dan sosial gerakan koperasi. Antara pelan tindakan di bawah perancangan ini adalah seperti Rancangan Malaysia Ke-12, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Pembangunan tidak hanya dinilai melalui angka-angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi yang penting adalah kekayaan dapat diagihkan secara adil supaya rakyat dapat menikmatinya.
Dalam erti kata lain kemakmuran bersama adalah usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus-menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (Equitable Growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.
Matlamat Pembangunan Lestari
Pada tahun 2015, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggariskan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals).
Apa yang pasti, kesemua matlamat kelestarian tersebut menjurus kepada kesejahteraan hidup manusia seiring dengan prinsip yang didokong dalam SDG iaitu, ‘leaving no one behind’. Sejajar dengan hala tuju International Cooperative Alliance (ICA) menerusi program CO-OPs for 2030 yang komited untuk mendidik koperasi mengenai SDG, membantu koperasi memberi maklum balas atas seruan PBB untuk bertindak dan mengumpulkan maklumat mengenai sumbangan koperasi kepada Agenda ICA SDG 2030 seterusnya memastikan kedudukan koperasi sebagai rakan strategik sepanjang proses pelaksanaan SDG.
Antara fokus pelan tindakan:
- Melindungi alam sekitar
- Membaiki akses kepada barangan dan perkhidmatan asas
- Membina sistem makanan yang mampan
- Membasmi kemiskinan