Malaysia, yang diwakili oleh Presiden ANGKASA memegang jawatan sebagai Pengerusi ICA-AP Malaysia Business Office (MBO) sebuah pejabat perniagaan di bawah Ikatan Koperasi Antarabangsa bagi rantau Asia Pasifik.
Ditubuhkan pada tahun 2013, MBO berperanan sebagai pemudah cara dalam mewujudkan jaringan perdagangan antara koperasi di rantau Asia-Pasifik. Disokong secara pentadbiran oleh ANGKASA, MBO menjadi platform strategik bagi memperkukuh interaksi dan pertukaran perniagaan, khususnya dalam kalangan koperasi pengguna, koperasi insurans dan koperasi perbankan.
MBO memberi tumpuan kepada pemerkasaan perdagangan koperasi, inisiatif perdagangan adil (fair trade), serta pembangunan platform perdagangan antara koperasi (B-to-B). Selain itu, ia turut memudahkan pertukaran teknikal dalam bidang teknologi maklumat (IT), pemindahan pengetahuan berkaitan kitar semula sumber dan tenaga boleh baharu, serta menggalakkan pertukaran budaya dalam kalangan belia koperasi di seluruh rantau.
Keberkesanan operasi MBO turut disokong oleh pegawai yang dipinjamkan daripada organisasi ahli ICA seperti All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC), Japanese Consumer Cooperative Union (JCCU), dan National Agriculture Cooperative Federation (NACF) dari Korea Selatan.
Setakat ini, MBO disertai oleh empat negara utama iaitu Malaysia, Jepun, China dan Korea Selatan yang berganding bahu memacu kerjasama koperasi serantau ke arah yang lebih mampan dan progresif.