Amanat Presiden ANGKASA

Assalamualaikum W.B.T., Salam Koperasi dan Salam Malaysia Madani,

Tarikh 12 Mei 1971 terukir sebagai detik bersejarah dalam landskap gerakan koperasi negara apabila Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) ditubuhkan sebagai badan puncak yang mewakili suara lebih 16,000 koperasi berdaftar di Malaysia. Dengan keanggotaan melebihi 7.2 juta orang, ANGKASA terus menjadi nadi penggerak utama dalam memperkukuh ekosistem koperasi tanah air sejak lebih lima dekad lalu.

Sebagai badan puncak gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan, ANGKASA berperanan merangsang pembangunan koperasi dalam sektor perniagaan berimpak tinggi serta menjadi suara rasmi koperasi kepada pelbagai pemegang taruh di peringkat nasional dan antarabangsa. Dalam menghadapi perubahan arus ekonomi global, ANGKASA kekal komited memperkasa koperasi agar terus relevan, berdaya tahan dan menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Tahun 2025 turut membawa makna yang cukup istimewa apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktirafnya sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC2025) buat kali kedua dalam sejarah selepas kali pertama pada tahun 2012. Bertemakan “Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat (Cooperatives Build a Better World)”, pengiktirafan ini bukan sekadar simbolik, tetapi cerminan kepada sumbangan koperasi dalam memperkukuh ekonomi global dan memperjuangkan nilai pembangunan yang inklusif dan lestari.

Pencapaian dan kejayaan koperasi dalam pelbagai sektor dilihat terus menjadi antara tunjang kekuatan ekonomi negara dan diyakini akan kekal relevan.

Kesedaran mengenai peranan dan manfaat berkoperasi yang mengutamakan model ekonomi inklusif serta pembangunan sosial perlu diperhebat dalam usaha memperkasa agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030 seiring dengan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) berteraskan jati diri dan prinsip koperasi demi semangat kebersamaan, kesepakatan dan kesejahteraan.

Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama.

Kedah

Koperasi Sekolah

0

Lain-lain Koperasi

0

Tutup/Batal

0

Jumlah

0