Bahagian Pengurusan & Pembangunan Syariah (BPPS)

VISI

Peneraju bagi koperasi dalam membangunkan kesejahteraan Ummah.

MISI

Menyediakan produk dan perkhidmatan yang berteraskan Patuh Syariah.

MOTTO

B - Bertaqwa
P - Progresif
P - Proaktif
S - Sistematik

OBJEKTIF

1. Meningkatkan kesedaran warga koperasi untuk membayar zakat individu dan zakat perniagaan koperasi.

2. Mengagihkan zakat perniagaan ANGKASA di kalangan warga koperasi yang memerlukan.

3. Meningkatkan koperasi mendapatkan Sijil Pematuhan Syariah.

4. Meningkatkan tahap pematuhan syariah di kalangan warga koperasi.

5. Membangunkan sektor koperasi melalui institusi masjid dan surau bagi kepentingan umat islam dan masyarakat sekitar.

FUNGSI

1. Menggalakkan penubuhan dan pelaksanaan operasi berasaskan patuh syariah dan menjalankan tugas-tugas sekretariat kepada Jawatankuasa Syariah ANGKASA.

2. Melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil amil pungutan zakat koperasi dan lain-lain organisasi yang dibenarkan di negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam / Pusat Zakat Negeri serta membahagikan / menyampaikan zakat ANGKASA kepada asnaf mengikut ketetapan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan (JTK).

3. Menggalakkan penubuhan Koperasi Kariah Masjid dan surau sebagai platform pembangunan ekonomi ummah.

4. Pada amnya, melakukan apa-apa aktiviti yang berkaitan untuk mencapai semua atau sebahagian daripada tujuan-tujuan Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Syariah.

MAKLUMAT PERHUBUNGAN

TUAN HAJI AZHAR HAMZAH
Pengurus Besar 
Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA

Unit 510, Tingkat 4, Blok C
Glomac Business Centre
No.10, Jalan SS 6/1, Kelana Jaya 
47301 Petaling Jaya, Selangor
Petaling Jaya, Selangor 

Telefon: +603 - 7884 6789 / +603 - 7884 6613 Faks: +603 - 78846677                      

Emel: azhar.angkasa@gmail.com / azhar@angkasa.coop


UNIT PEMATUHAN SYARIAH

PENGENALAN

Koperasi merupakan salah satu daripada sektor ekonomi yang semakin berkembang pesat di Malaysia. Penubuhan dan aktiviti yang dijalankan dilihat mampu memberikan sumbangan kepada peratusan Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Areas - NKRA).

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang menjadi agensi kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Koperasi Kredit khasnya dan juga Koperasi fungsi lain agar mematuhi Syariah pada semua aspek.

Justeru itu, SKM telah mengeluarkan satu garis panduan bagi mengawal selia objektif Pematuhan Syariah tersebut iaitu GP28 - Garis Panduan Tadbir Urus Syariah.

Oleh yang demikian, ANGKASA selaku badan apeks dalam gerakan koperasi telah dilantik secara rasmi oleh SKM untuk bersama-sama dengan SKM memartabatkan Maqasid Syariah melalui GP28 Ini. 2 pengiktirafan telah dikeluarkan oleh SKM kepada ANGKASA:

1. Pengiktirafan rasmi sebagai Jawatankuasa Syariah Dalaman sejak 30 Disember 2015 sehingga tahun 2020 - GP28, Bahagian B, No. 5 (a ). Pengiktirafan ini diteruskan lagi (di sambung) dengan ANGKASA melalui jawatankuasa ini mendapat lantikan kedua bermula Tahun 2020 sehingga 2023.

Lantikan ini secara langsung menunjukkan bahawa ANGKASA begitu komited untuk memastikan aktiviti dan transaksi ANGKASA berada di atas landasan Pematuhan Syariah.

2. Pengiktirafan rasmi sebagai Konsultan Syariah Luaran Koperasi sejak 23 Mac 2017 sehingga tahun 2020. Lantikan ini diteruskan lagi (di sambung) bermula tahun 2020 sehingga tahun 2023 di bawah GP28,  Bahagian B, No. 5 (c ).

Lantikan ini membuka peluang kepada gerakan koperasi untuk mendapatkan perkhidmatan dan Pengiktirafan Pematuhan Syariah melalui Sijil Pematuhan Syariah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Syariah ANGKASA.

Ia juga secara langsung memberi gambaran mengenai kepercayaan pihak SKM kepada ANGKASA untuk bersama-sama dengan SKM membawa misi dan visi Pematuhan Syariah kepada gerakan koperasi khasnya dan perkembangan ekonomi negara amnya.

Oleh itu, Jawatankuasa Syariah ANGKASA (JSA)  ditubuhkan pada tahun 2010 memperincikan setiap aktiviti dan perniagaan yang dijalankan berada di dalam kerangka Syarak yang bersandarkan kepada sumber utama iaitu Al-Quran & Al-Sunnah serta sumber-sumber sekunder yang disepakati Ulama seperti Ijmak, Qiyas dan sebagainya. Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud :

            “Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba...” [ Al-Baqarah : 275]

Gerak kerja Pematuhan Syariah dilaksanakan oleh Unit Pematuhan Syariah, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA selaku sekretariat kepada Jawatankuasa Syariah ANGKASA (JSA). Manakala gerak kerja yang berkaitan dengan pengurusan pula akan dilaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA (JPPS) serta Jawatankuasa Kerja Kebangsaan (JKK) pada perkara yang melibatkan penambahbaikan kepada Pematuhan Syariah peringkat dalaman ANGKASA.

SISTEM TAWARRUQ ANGKASA & INOVASI AR-RAHNU

Sistem Tawarruq ANGKASA yang dibangunkan oleh ANGKASA merupakan fasiliti atau kemudahan yang disediakan kepada koperasi-koperasi yang menjalankan aktiviti pembiayaan. Sistem ini juga merupakan instrumen Patuh Syariah yang komprehensif dan dinamik sejajar dengan keperluan Maqasid Syariah.

Dalam masa yang sama, selaras dengan pekeliling daripada SKM mengenai kewajipan menambah baik konsep Ar-Rahnu sedia ada kepada pembangunan hibrid konsep antara konsep Tawarruq dan Ar-Rahnu.

ANGKASA melalui Jawatankuasa Syariah ANGKASA ini juga menyediakan perkhidmatan rundingan dan pelaksanaan teknikal Syariah terhadap konsep-konsep Muamalat yang diperlukan koperasi untuk memenuhi standard piawaian Pematuhan Syariah.

DEFINISI TAWARRUQ

Tawarruq didefinisikan sebagai satu bentuk jual beli yang melibatkan pembelian sesuatu barangan (komoditi) secara tangguh daripada satu pihak untuk dijual kepada pihak ketiga dengan harga tunai bagi mendapatkan wang tunai.

Konsep Muamalat ini sesuai untuk dilaksanakan bagi produk-produk koperasi berkaitan kewangan di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Selain daripada konsep Tawarruq ini, terdapat beberapa lagi produk Muamalat lain yang disediakan oleh ANGKASA untuk disesuaikan dengan transaksi koperasi, ia adalah seperti Murabahah, Qard, Wakalah, Musyarakah, Mudharabah, Istisna’, Bai’ dan sebagainya.

Gerakan koperasi dialu-alukan untuk mendapatkan perkhidmatan Pematuhan Syariah daripada ANGKASA.

MUAT TURUN BORANG PERMOHONAN PEMATUHAN SYARIAH ANGKASA

Borang Permohonan Pematuhan Syariah ANGKASA


UNIT PENGURUSAN & PEMBANGUNAN ZAKAT

PENGENALAN

Zakat perniagaan adalah salah satu daripada komponen zakat yang wajib ditunaikan oleh individu muslim yang bergelar usahawan dan tidak terkecuali juga sektor koperasi.

Jumhur ulama bersependapat bahawa zakat diwajibkan ke atas harta perniagaan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada mengingati Allah dan mendirikan solat serta menunaikan zakat." (An-Nur: 37)

Daripada Samurah bin Jundub bermaksud:

"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk dijual". (Riwayat Abu Daud dan Daraqutni)

ANGKASA SEBAGAI AGEN KUTIPAN ZAKAT KOPERASI

Untuk memudahkan pihak koperasi menunaikan zakat perniagaan koperasi masing-masing, ANGKASA telah mendapat hak lantikan sebagai agen kutipan zakat terutamanya kutipan zakat perniagaan.

Justeru itu koperasi boleh membuat bayaran zakat perniagaan melalui ANGKASA dan boleh mendapatkan perkhidmatan pengiraan zakat perniagaan daripada Unit Pengurusan dan Pembangunan Zakat di Bahagian Pengurusan& Pembangunan Syariah ANGKASA. Para pegawai daripada unit ini akan 'turun padang' dan juga menggunakan pelbagai kaedah teknologi terkini seperti Google Meet, Zoom dan lain-lain bagi proses pengiraan zakat tersebut.

ANGKASA telah mendapat lantikan amil daripada 14 buah negeri. ANGKASA juga telah menerima beberapa anugerah seperti Agen Zakat Kutipan Tertinggi oleh Pusat Zakat Melaka pada tahun 2011, Anugerah Komitmen Terbaik 2011, Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik 2012, Anugerah Komitmen Terbaik 2014 dari Lembaga Zakat Selangor dan ANGKASA telah mendapat pengiktirafan tertinggi daripada Jabatan Perdana Menteri menerusi Anugerah Zakat Kebangsaan ( Syarikat Awam Berhad) pada tahun 2017.

Dengan lantikan dan anugerah yang diterima ini, ANGKASA mengalu-alukan gerakan koperasi untuk mendapatkan perkhidmatan taksiran dan kutipan Zakat melalui ANGKASA.

KELEBIHAN BERZAKAT

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Tidak akan berkurang harta kerana sedekah dan tiada seseorang yang memaafkan suatu aniaya kezaliman melainkan Allah menambahkan kemuliaan nya."

Sabda Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Dirikanlah kubu akan harta kamu dengan mengeluarkan zakat (iaitu terselamat harta-harta itu dari dicuri, hilang dan tercicir) dan jadikan lah akan sedekah kamu sebagai ubat atau penawar dan angkatlah bala atau ujian ke atas kamu dengan banyak berdoa.”

(Riwayat At-Tabrani dan Abu Naim dan Al-Khatib) 


UNIT KOPERASI KARIAH MASJID

PENGENALAN

Masjid merupakan satu institusi yang amat penting buat umat Islam, kerana dalam sejarah perkembangan Islam semasa zaman Rasulullah masjid menjadi salah satu pusat syiar Islam. Masjid menjadi satu tempat untuk umat Islam melaksanakan ibadah dan aktiviti seperti solat, ceramah, membaca al – Qur’an, perbincangan, berzikir, pusat perkembangan ilmu dan sebagainya. Di zaman Rasulullah masjid menjadi satu tempat yang amat penting dalam menjana kekuatan umat Islam terutama dalam persediaan untuk menghadapi tentangan orang – orang kafir dan menjadi pusat ilmu.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Jangan engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya Masjid (Qubaa' yang engkau bina Wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah At-Taubah ayat 108).

Ayat ini boleh disimpulkan sebagai peranan utama masjid yang dibina pada hari ini seharusnya berdasarkan taqwa iaitu untuk diimarahkan dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan keimanan kepada Allah dengan menjadikan setiap aktiviti adalah ibadah. Kesedaran inilah yang perlu disampaikan oleh institusi masjid kepada seluruh umat Islam agar matlamat pembentukan taqwa akan lahir dalam diri masyarakat Islam. Masjid Nabawi merupakan masjid yang dibina oleh Rasulullah s.a.w ketika sampai di Madinah. Ia dibina di atas tapak kebun kurma. Pembinaannya berasaskan batang pohon kurma sebagai tiang, pelepah kurma sebagai atap dan batu besar sebagai pintu gerbang. (Hadith. Anas bin Malik. Sahih Muslim: 816)

Wujudnya Masjid Nabawi di Madinah adalah sebagai asas persaudaraan Islam di antara Ansar dan Muhajirin. Antara peranan Masjid Nabawi ketika itu adalah tempat untuk:

1. Menunaikan ibadah solat.

2. Menyelesaikan masalah sosial umat Islam

3. Perbincangan meningkatkan ekonomi Islam

4. Latihan ketenteraan dan persiapan alat-alat peperangan.

5. Merawat tentera-tentera Islam yang tercedera ketika peperangan (Pusat rawatan/Hospital)

6. Perbicaraan sesuatu kes (Mahkamah)

7. Menyambut tetamu yang hadir dari luar Madinah

8. Memberi penerangan tentang sesuatu isu atau permasalahan

Kini, peranan masjid dikalangan umat Islam dilihat semakin pudar. Masjid hanya menjadi satu tempat untuk bersolat berjemaah, solat Jumaat dan majlis – majlis tertentu sahaja. Keadaan ini menjadikan fungsi dan peranan masjid pada ketika hari agak terbatas serta berbeza ketika di zaman Rasulullah.

PERANAN ANGKASA

Peranan dan fungsi masjid perlu di perluas dan diperkembangkan sejajar dengan perubahan serta keperluan umat Islam masa kini khususnya.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan puncak gerakan koperasi di Malaysia, melihat amat perlu untuk mendukung hasrat kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membangunkan sektor koperasi melalui institusi masjid dan surau bagi kepentingan umat Islam dan masyarakat sekitarnya . Penubuhan Koperasi Kariah Masjid/ Surau  dilihat sebagai salah satu pendekatan untuk meningkatkan peranan dan fungsi masjid menjadi lebih berkesan.

ANGKASA mewujudkan Unit Koperasi Kariah Masjid yang berperanan :-

1. Memberi maklumat dan bimbingan penubuhan koperasi kariah masjid kepada jawatankuasa masjid dan ahli kariah Masjid/ Surau. 

2. Merancang dan melaksanakan program penubuhan dan program pembangunan Koperasi Kariah Masjid/ Surau.

3. Memberi khidmat nasihat serta bimbingan secara terus ke Koperasi Kariah Masjid secara percuma.

4. Mewujudkan Konsortium sebagai sebahagian peneraju kepada gerakkan Koperasi Kariah Masjid bagi meningkatkan perolehan serta kepelbagaian aktiviti koperasi.

5. Menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi atau pihak yang berkaitan bagi meningkatkan perkhidmatan serta perolehan Koperasi Kariah Masjid.

Penubuhan Koperasi Kariah Masjid ini dilihat bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi kariah setempat malahan dapat mengeratkan perpaduan di kalangan umat islam. Kepelbagaian latar belakang serta kemahiran di kalangan kariah dilihat mampu melonjak gerakkan koperasi ke peringkat yang lebih tinggi. Kerjasama di antara koperasi kariah masjid seluruh negara akan membentuk sebuah jaringan perniagaan yang lebih meluas serta berperanan sebagai gerakkan pembangunan ekonomi umat islam di masa akan datang.         

KESIMPULAN

Dalam mempertingkat keupayaan dan keberkesan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan ekonomi umat Islam, penubuhan Koperasi di setiap masjid di lihat sebagai satu pendekatan yang realistic dan wajar. Konsep berkoperasi adalah selaras dengan kehendak Islam itu sendiri yang menggalakan umatnya untuk bekerjasama dan tolong-menolong dalam perkara-perkara kebaikan dan kebajikan . Firman Allah dalam ayatnya yang bermaksud :

...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

 

                                                                            (Surah Al-Maidah  :  Ayat 2)


MAKLUMAT PERHUBUNGAN

TUAN HAJI AZHAR HAMZAH
Pengurus Besar
Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA

Unit 510, Tingkat 4, Blok C
Glomac Business Centre
No.10, Jalan SS 6/1, Kelana Jaya
47301 Petaling Jaya, Selangor
Petaling Jaya, Selangor
Telefon: +603 - 7884 6789 / +603 - 7884 6613 Faks: +603 - 7884 6677 E-mel: azhar.angkasa@gmail.com / azhar@angkasa.coop 

ENCIK MOHAMAD AZAHARI AHMAD
Pengurus Unit Pengurusan & Pembangunan Zakat dan Unit Pematuhan Syariah
Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA

Tel : 03-7884 6673 / 03-7884 6616 
Faks : 03-7884 6677 Emel : azahari.angkasa@gmail.com / sistemtawarruq@gmail.com

ENCIK AMRI SHARKAWI
Pengurus Unit Kariah Masjid
Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA
Tel : 03-7884 6790
Faks : 03-7884 6677 Emel :amri.angkasa@gmail.com

ENCIK MOHD FAZELI ROSLY
Penolong Pengurus Unit Pengurusan dan Pembangunan Zakat
Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA

Tel : 03-7884 6689 / 03-7884 6675
Faks : 03-7884 6677 Emel : fazeli.angkasa@gmail.com / zakat@angkasa.coop