Mengenai ANGKASA

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah didaftarkan pada 12 Mei 1971 di bawah Ordinan Koperatif 33/1948. ANGKASA ditubuhkan hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

ANGKASA telah diangkat sebagai sebuah koperasi yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia. Pada 23 Mei 1996, perisytiharan pengiktirafan ini telah diwartakan.

"Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perenggan 57(2)(b) Akta 502 Akta 502 Akta Koperasi 1993, Menteri mengisytiharkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," menurut [KTPK.(S)07/49/1/9: PN. (PU2) 572/III].

Sebagai badan apex gerakan koperasi negara ANGKASA juga turut menganggotai ASEAN Cooperative Organization (ACO) dan International Cooperative Alliance (ICA). Presiden ANGKASA Dato' Haji Abdul Fattah Haji Abdullah juga telah dilantik sebagai Presiden ACO.


Visi, Misi, Matlamat & Fungsi

VISI

Pemacu Unggul Kelestarian Sosioekonomi Gerakan Koperasi

MISI

ANGKASA komited untuk menjadi Pemangkin Kecemerlangan Sosioekonomi Gerakan Koperasi ke Arah Globalisasi dengan:

1. Mempelopori dan Memperkasa Jaringan Serta Rantaian Nilai Sektor Ekonomi Koperasi;

2. Membudayakan Keusahawanan Dalam Koperasi;

3. Memperkukuhkan Pengalaman Tadbir Urus Berdasarkan Jati Diri Koperasi; dan

4. Mentransformasi Landskap Ekonomi Koperasi Selaras Dengan Perkembangan Inovasi dan Teknologi.

Matlamat penubuhan ANGKASA terkandung di dalam Undang-Undang Kecil (UUK) ANGKASA (Pindaan 2010). Menurut subseksyen 4(3) Akta, matlamat ANGKASA sebagai badan yang mewakili Gerakan Koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa (yakni koperasi apeks) ialah:-

1. menyatukan semua koperasi dalam Malaysia;

2. mewakili Gerakan Koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

3. memperjuang, mengawasi dan menjaga kepentingan dan pembangunan koperasi ahli khususnya dan Gerakan Koperasi amnya;

4. dan memudahkan operasi koperasi ahli.

Fungsi utama ANGKASA yang terkandung di dalam UUK 11 (1) adalah memastikan matlamatnya (ANGKASA) tercapai dengan memberi perkhidmatan sebagaimana yang diperihalkan dalam Undang-Undang Kecil. Di dalam UUK 11 (2), ANGKASA berfungsi untuk :-

1. memberi nasihat dan bantuan kepada koperasi ahli dalam perjalanan pengurusan perniagaan mereka;

2. menggalakkan kajian penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan Gerakan Koperasi;

3. menyedia dan memberi perkhidmatan nasihat dan panduan berkenaan dengan hal pentadbiran, pengurusan, perakaunan, audit, undang-undang, keusahawanan, skim perlindungan sosial termasuk zakat dan wakaf, kemudahan BPA dan lain-lain perkhidmatan untuk kepentingan koperasi ahli dan gerakan Koperasi amnya;

4. memajukan pendidikan, latihan dan penerangan ilmu koperasi, dan ilmu perniagaan, keusahawanan dan perindustrian dalam bidang yang dinyatakan dalam perenggan (o) fasal (1) undang-undang kecil 12;

5. membantu Kerajaan untuk menggalakkan dan mengembangkan Gerakan Koperasi dalam Malaysia selaras dengan Dasar Koperasi Negara dana pa-apa dasar Kerajaan berhubungan dengan koperasi;

6. mengambil dayausaha dan initiatif bagi menggalakkan dan menjalankan aktiviti-aktiviti dalam bidang sosial dan ekonomi Negara;

7. mengadakan atau menerima dan mentadbir kumpulan wang, tabung atau skim khas atau am bagi memajukan Gerakan Koperasi;

8. memainkan peranan dan menyelaras, sejauh mana yang munasabah, penjagaan alam sekitar;

9. berkhidmat sebagai pusat tumpuan fikiran mengenai segala perkara yang berkaitan dengan Gerakan Koperasi dan mengemukakan fikiran dan pendapat mengenai Gerakan Koperasi kepada mana-mana pihak yang berkaitan;

10. mengumpul segala maklumat berkaitan dengan Gerakan Koperasi;

11. mempromosi dan mengembang teknik pengurusan dan perniagaan serta penggunaan alat dan teknologi yang canggih;

12. melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan termasuk penubuhan pasukan sukarela di dalam dan luar Malaysia; dan

13. pada amnya membantu dan memudahkan operasi koperasi ahli.


Keahlian ANGKASA


Pelan Strategik dan Pelan Tindakan ANGKASA

Pelan Strategik ANGKASA (2017 – 2050) dirangka dan disusun bagi mencapai halatuju ANGKASA 2050.  Dengan Visi ANGKASA sebagai Pemacu Unggul Kelestarian Sosioekonomi Gerakan Koperasi, empat (4) Tonggak Strategik utama iaitu Tonggal Ekonomi, Tonggak Ekosistem, Tonggak Tadbir Urus dan Tonggak Inovasi.

           

Pelan Strategik ANGKASA (2017 – 2050) dirangka dan disusun bagi mencapai halatuju ANGKASA 2050.  Dengan Visi ANGKASA sebagai Pemacu Unggul Kelestarian Sosioekonomi Gerakan Koperasi, empat (4) Tonggak Strategik utama iaitu TONGGAK EKONOMI, TONGGAK EKOSISTEM, TONGGAK TADBIR URUS DAN TONGGAK INOVASI disandarkan.  Bagi setiap tonggak, dua (2) Teras Strategik ditetapkan dengan memberi fokus kepada Fokus ANGKASA (untuk memperkukuh infrastruktur organisasi ANGKASA) dan Fokus Gerakan (untuk melestarikan gerakan koperasi yang diterajui ANGKASA).

Anjakan Pelan Tindakan bagi pelaksanaan Pelan Strategik ANGKASA telah dibahagikan kepada tiga (3) tahap jangka masa iaitu Pelan Jangka Pendek (2017-2020), Pelan Jangka Sederhana (2021-2030) dan Pelan Jangka Panjang (2031-2050).  ANGKASA kini telah melangkah ke Anjakan Pelan Tindakan bagi Pelan Jangka Sederhana 2021-2030 dengan bertemakan “Koperasi Menjadi Pilihan Perniagaan”.  Pelan Strategik ini diperkukuhkan melalui Rancangan ANGKASA (2021-2030) dengan menggariskan Fokus Keutamaan bagi Pelan Tindakan setiap lima (5) tahun dalam memastikan Hasil Strategi bagi setiap tonggak dicapai.

                                                        

PENYELARASAN PELAN STRATEGIK ANGKASA 

Pembangunan Pelan Strategik ANGKASA (2017-2050) ini adalah sejajar dan selaras dengan aspirasi-aspirasi kerajaan seperti yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025, Dasar-dasar Utama Malaysia dan Luar Negara serta Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goal). Dalam membangunkan teras-teras setiap Tonggak, semua matlamat dan hala tuju yang ditetapkan dalam dasar berkenaan digunakan sebagai rujukan dan dihubungkait dengan Teras Strategik ANGKASA (2017-2050).

Penyelarasan Pelan Strategik berdasarkan Dasar-Dasar Utama Negara amatlah penting bagi memastikan hala tuju gerakan koperasi adalah seiring dengan hala tuju, matlamat dan rancangan Negara seterusnya memastikan peningkatan dan kelestarian impak sumbangan koperasi kepada Negara.

                                               

Bagi membantu ANGKASA mencapai matlamat dan tema yang telah ditetapkan dibawah Pelan Jangka Sederhana 2021 – 2030, ANGKASA telah memperkenalkan Rancangan ANGKASA 2021 hingga 2025 serta Rancangan ANGKASA 2026 – 2030 yang akan menggariskan fokus keutamaan dan sasaran pemerkasaan gerakan koperasi di Malaysia bagi tempoh 5 tahun.  Rancangan ANGKASA ini akan dilaksanakan sepenuhnya mulai Januari 2021.