Pertandingan Mencipta Lagu Rasmi "Semangat Koperasi"

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ANGKASA ke-50 tahun pada tahun 2021, ANGKASA menganjurkan pertandingan mencipta lagu rasmi "Semangat Koperasi" bertujuan bagi meningkatkan aspirasi semangat berkoperasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pertandingan ini terbuka kepada semua pencipta lagu amatur atau profesional warganegara Malaysia di mana lagu hendaklah ciptaan asal yang tidak melebihi jangka masa dua (2) minit dan penyertaan adalah tidak terhad.

Menurut Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organisation (ACO), Dato’ Abdul Fattah Abdullah, lirik hendaklah bertemakan konsep tujuh (7) Prinsip Koperasi, “Bekerja Bersama-Sama Demi Manfaat Bersama dan “Sadik, Amanah dan Telus.

“Lirik juga merangkumi aspek kerjasama, perkhidmatan profesional kepada anggota koperasi, kelestarian koperasi, penyatuan dan perpaduan kaum, peranan ANGKASA sebagai badan APEKS koperasi negara yang menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi masyarakat dan negara bangsa tanpa menyentuh sensitiviti perkauman, agama dan politik.

“Penilaian akan diberikan kepada aspek kreativiti melodi yang bermutu, bernilai komersil dan mampu menarik minat semua golongan serta lirik yang bersesuaian dengan konteks dan konsep,” katanya ketika Sidang Media Pertandingan Mencipta Lagu Rasmi “Semangat Koperasi” Sempena Sambutan Ulang Tahun ANGKASA Ke-50 bertempat di ANGKASA, hari ini.

Beliau berkata, ANGKASA sebagai penganjur berhak mengubah suai lagu dan lirik mengikut kesesuaian dengan konsep koperasi, namun bagaimanapun nama pencipta lagu akan dikekalkan sebagai tanda penghargaan.

Menariknya, johan pertandingan ini bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan sijil penyertaan serta sebanyak tiga hadiah juri ditawarkan bernilai RM2,500 dan sijil penyertaan.

Tarikh penyertaan bermula 14 Julai 2020 sehingga 16 September 2020 depan dan penyertaan hendaklah dihantar ke alamat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia, Wisma Ungku A. Aziz, Jalan SS6/1 Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor.

Klik di sini untuk memuat turun 'Terma & Syarat' dan 'Borang Penyertaan'.