Tahun Koperasi Antarabangsa (International Year of Cooperatives) - IYC 2025
-
MAKLUMAN
Tahun Koperasi Antarabangsa (International Year of Cooperatives) - IYC 2025Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 pada Disember 2023 melalui resolusi A/78/L.71 yang diratifikasi oleh negara - negara anggota PBB, telah mengisytiharkan tahun 2025 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa (International Year of Cooperatives) - IYC 2025 yang kedua bertemakan ‘Cooperatives Build A Better World’ atau Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat.
Pengiktirafan PBB kepada gerakan koperasi di seluruh dunia ini diberikan, mengambilkira peranan koperasi yang mempromosikan sepenuhnya penyertaan inklusif dalam pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat tempatan; termasuk wanita, belia, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), orang asal serta kumpulan terpinggir lain. Penyertaan masyarakat dalam kegiatan ekonomi menerusi koperasi berupaya meningkatkan taraf hidup serta menyumbang kepada pembangunan sosial yang lebih mampan serta membantu usaha global dalam pembasmian kemiskinan dan kebuluran.
IYC2025 diraikan bukan sahaja untuk menggalakkan kerajaan mempromosikan gerakan koperasi dan meningkatkan kesedaran awam untuk memahami identiti dan jati diri koperasi malah memberi hebahan mengenai peranan gerakan koperasi sebagai jentera pemacu sosioekonomi rakyat melalui pendidikan, pengukuhan kapasiti dan peluasan kerjasama antara koperasi dengan koperasi di peringkat antarabangsa serta mewujudkan landskap perniagaan yang mesra koperasi.
ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan menyeru seluruh warga koperasi di Malaysia untuk turut serta menyambut Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) dengan menonjolkan keupayaan gerakan koperasi dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi negara. Marilah bersama-sama kita merealisasikan matlamat “Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat” yang inklusif dan mampan untuk semua.