Projek BA100

‘Program Pembekalan Barangan Asas 100’ atau lebih dikenali sebagai Projek BA100 merupakan  satu program bersepadu yang diperkenalkan oleh ANGKASA dalam usaha berterusannya untuk menggerakkan perniagaan koperasi terutama membantu dan menawarkan penjualan barangan asas dengan harga sangat berpatutan.

Menerusinya, ANGKASA mengambil inisiatif membuat pembelian secara pukal daripada pembekal atau pengeluar dan dihantar secara terus kepada peruncit. Berasaskan kepada pendekatan tersebut, kedai-kedai koperasi dapat bergabung dengan menawarkan jualan barangan asas dengan harga yang berpatutan dan bukan bersifat sementara.

Projek BA100 akan melibatkan penambahbaikan operasi dan penjualan di semua kedai koperasi yang terlibat. Projek ini sekaligus dapat memberi manfaat sosioekonomi kepada gerakan koperasi dan masyarakat khususnya anggota koperasi selain menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada peringkat awal, projek pilot akan dijalankan meliputi Selangor dan Wilayah Persekutuan sebelum dikembangkan ke seluruh negara. Tujuan pelaksanaannya adalah untuk menganalisa penerimaan koperasi dari segi pilihan produk dan tinjauan harga serta lain-lain isu yang perlu dipastikan jalan penyelesaiannya.

Koperasi yang menyertai projek ini akan dapat menambahbaik pengurusan kedai terutamanya operasi jualan dan kawalan stok. Pengurusan kedai juga akan dimodenkan melalui teknologi untuk menghasilkan pengurusan peruncitan kedai koperasi yang lebih efisien dan mantap.

Di samping itu juga, program ini dapat membuka peluang pekerjaan dan peluang keusahawanan kepada anggota selain membantu meningkatkan prestasi jualan dan keuntungan melalui pakej-pakej promosi yang sentiasa dikemaskini mengikut kesesuaian pasaran dan harga semasa.

Latihan untuk peruncit dan anggota akan dibekalkan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengurusan peruncitan.  ANGKASA akan memantau prestasi dan komitmen peserta melalui analisis yang dihasilkan oleh sistem yang telah dibangunkan.

ANGKASA amat berharap agar koperasi terutamanya anggota koperasi menyokong program ini dengan menjadi pelanggan setia kepada peruncit-peruncit. Sokongan padu dan kesepakatan dalam gerakan ini dapat membantu kelancaran program rantaian pembekalan projek BA100 sekaligus memastikan kos barangan asas akan sentiasa terkawal dan dapat dikurangkan.

   

                        

DIREKTORI SEKTOR PEMBORONGAN & PERUNCITAN

Klik Untuk Muat Turun