Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok

Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok merupakan inisiatif ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan dalam mengintegrasikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan tanda sokongan gerakan koperasi kepada usaha Dekad Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2021 - 2030 atau United Nation Decade on Ecosystem Restoration.

Program ini dilaksanakan dalam tempoh dua (2) tahun dengan kerjasama Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Hijau Malaysia untuk menggalakkan dan meningkatkan penglibatan 15, 315 buah koperasi yang mempunyai 7.31 juta anggota di seluruh Malaysia bagi menyokong usaha penanaman semula sejuta pokok untuk memberi impak positif terhadap alam sekitar.

Usaha ini bertepatan dengan sambutan 100 tahun gerakan koperasi dalam menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan sosial, ekonomi dan budaya masyarakat. Program ini juga selaras dengan agenda Penghijauan Malaysia yang bertujuan untuk mengekalkan kawasan hijau di seluruh negara selain memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai menerusi kempen penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

Penanaman semula pokok merupakan langkah pertama untuk membantu memerangi perubahan iklim, memulihkan kemerosotan ekosistem, mengekalkan keseimbangan biodiversiti dan meningkatkan kualiti khazanah alam semula jadi. Marilah kita bersama-sama bekerjasama melakukan perubahan dengan menanam sebatang pokok hari ini demi masa hadapan yang lebih hijau dan lestari untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Mana-mana koperasi, syarikat, organisasi atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berminat untuk menyertai program ini, sila layari https://sejutapokok.coop/. Anda juga boleh e-melkan pertanyaan ke sejutapokok.coop@gmail.com atau hubungi 03-7884 6481 / 03-7800 8170