Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok

Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok merupakan inisiatif ANGKASA, untuk melibatkan gerakan koperasi di seluruh negara sebagai komitmen untuk menjayakan salah satu matlamat yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 iaitu ‘Climate Action’. Usaha ini merupakan sokongan kepada Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Di Malaysia, anggota koperasi mewakili kira – kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Ini bermakna suara gerakan ini adalah penting dalam memastikan kesejahteraan sosial, ekonomi dan kehidupan secara menyeluruh. Ini termasuk kelestarian alam yang amat penting untuk dijaga, dipulihkan dan dikekalkan kerana impaknya terhadap setiap rantaian kehidupan adalah besar terutamanya dalam isu perubahan iklim.

Program ini akan dijalankan secara berterusan dalam tempoh dua tahun melibatkan 14,567 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 7.05 juta individu dari seluruh negara. ANGKASA mensasarkan penanaman pokok dijalankan di beberapa kawasan hutan terosot seluas 20 hektar di sekitar kawasan Selangor untuk dipulihkan semula.

Melalui program ini, ANGKASA berhasrat meningkatkan kesedaran serta keterlibatan masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan manfaatnya kepada kehidupan.

ANGKASA juga akan menerbitkan modul pembelajaran dan program Train of Trainers (ToT) bagi memberikan pendidikan asas dan memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan usaha yang dijalankan. Generasi baharu perlu disemai dengan semangat cintakan alam sekitar memandangkan golongan ini celik digital dan secara tidak langusng dapat mempromosi aktiviti pemuliharaan melaui platform sosial dalam talian.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA melalui telefon 03-7884 6481/03-7800 8170/03-7884 6446 atau e-mel (korporat.angkasa@gmail.com).